Sunday, August 9, 2009

Semasa susah



Setiap kita akan melalui waktu sukar. Sememangnya kita ini bukanlah manusia sempurna yang tidak mempunyai masalah. Guru saya pernah berkata,

” yang tiada masalah, maka dia bukan manusia”

Jadi suka atau tidak, mahu atau tidak, kita sebagai manusia yang berada di bawah aturan ALLAH ini akan menghadapi ujian dan cabaran, mehnah dan tribulasi. Kesukaran dan kesusahan pastinya akan wujud di dalam kehidupan kita.

Setiap kali kesusahan tiba, kita akan terasa seperti diri kita terhadang oleh satu dinding yang tinggi dan besar. Kita tidak boleh terus, juga mustahil untuk kita berpatah balik. Ketika ini kita akan rasa seperti tersepit, terhimpit dan dada kita akan menjadi sempit.

Tetapi hakikatnya, jika kita bertenang, kembali berfikir dengan rasional, maka kita akan melihat pada dinding itu terdapat satu pintu. Pintu yang akan membawa kita menembusi dinding itu dan meneruskan perjalanan kita.


Namun persoalannya, jika kita terjemahkan pintu itu di dalam reality kehidupan kita, kepada apakah pintu itu boleh kita terjemahkan?

Jika anda bertanya kepada saya, maka saya akan berkata, pintu itu adalah taqarrub kepada ALLAH. Yakni mendekati ALLAH.

Ya, apabila kita mendekati ALLAH, nescaya ALLAH akan mencampakkan kemudahan dalam segenap urusan kita. Percaya atau tidak, apabila kita mendekati ALLAH, maka jiwa kita akan menjadi tenang.

” Dengan mengingati ALLAH itu, maka hati-hati akan menjadi tenang” Surah Ar-Ra’d ayat 28.

Justeru, kita perlu kembali bermuhasabah, adakah kita telah berusaha untuk mendekati ALLAH S.W.T. Fitrah manusia perlukan kepada ALLAH. Marilah kita mengajak diri kita untuk pulang kepadaNya.

Segala masalah, segala halangan dan cubaan itu ternyata adalah satu gesaan lembut daripada ALLAH S.W.T. untuk kita kembali mengingatiNya. Bagi mereka yang memang benar-benar yakin kepada ALLAH pula, apabila mereka diuji atau terhimpit di dalam kesusahan, mereka pasti akan tetap tenang dan menghadapi ujian itu dengan tabah.

ALLAH S.W.T. berfirman di dalam surah Al-Insyirah…,

“Sesungguhnya selepas kesusahan itu akan wujud kesenangan, dan sesungguhnya selepas kesusahan itu akan wujud kesenangan” Ayat 5-6 Surah Al-Insyirah.

Marilah kita merenung sejenak perkara ini.

Bila kita susah…

Keluarga belum tentu lagi ada di sisi kita,

Hatta sahabat yang terbaik pun mungkin tidak sempat datang untuk membantu kita,

Tetapi ALLAH….

” Sesungguhnya ALLAH itu lebih rapat dari urat nadi kamu” Al-Hadith.

DIA sentiasa bersama kita,

” Apabila hamba-hambaKu bertanyakan tentang AKU, maka katakanlah bahawasanya AKU amat dekat” Surah Al-Baqarah ayat 186.

Mendengar doa-doa kita,

” Berdoalah kepadaku, nescaya AKU akan perkenankan” Surah Al-Mu’min ayat 60.

Bila kita susah….

ALLAH sahajalah satu-satunya penolong kita yang ampuh.

Mari bermuhasabah.


source:here

0 comments:

 

the power of sharing Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template