Sunday, November 8, 2009

tanggungjawab utk pesakit OBSTETRIC. plz noted!!!


perkongsian daripada artikel yang ditulis kak nur (http://keranacinta.wordpress.com/)

Assalamu’alaikum semua,
Lazimnya apabila saya fokus menulis buku, masa saya begitu suntuk untuk meng-update blog. Saya sedang mengedit buku Fikah Perubatan setebal 264 halaman. Buku ini ditulis oleh 4 penulis. 2 pakar perubatan dan 2 pakar Fiqh dan Usul Fiqh. Saya diminta menyiapkan suntingan buku akhir November 2009. Bukan mudah mengedit tulisan orang lain yang berbagai ragam. Di bawah ini, merupakan sebahagian tulisan saya dari buku tersebut. Mungkin akan ada perubahan lagi dalam edisi cetakan. Insya Allah, saya akan mewar-warkan buku ini setelah siap sepenuhnya. Tolong doakan agar Allah memudahkan urusan saya. Jazakumullah.
Ummu Abbas
11.50am
18 Zul Qi’dah 1430H

Kaedah Solat Wanita yang Sakit Hendak Bersalin.
Saya membuat rumusan berkenaan solat wanita yang sakit hendak bersalin ini berdasarkan pengalaman sendiri. Sebagai muslim yang sedar akan tanggungjawab menunaikan solat, sudah tentu saya dan anda mahu menunaikan solat yang terbaik dan mengikut waktunya. Namun di sana, terdapat situasi yang kita belum pernah alami dalam menunaikan solat. Melalui pengalaman, ilmu digali dan penyelesaian dicari. Hasilnya inilah yang dapat saya kongsi bersama kaum wanita khususnya. Kaum lelaki juga perlu perihatin terhadap solat wanita yang hampir dengan mereka seperti isteri. Beri bantuan dan sokongan kepada mereka untuk menunaikan kewajipan yang satu dan asas ini.
Memang terdapat wanita yang menemui ajal di saat melahirkan anak, maka menunaikan solat dalam waktunya hendaklah dititik beratkan meskipun sakit tidak terperi. Selagi akal waras dan lidah masih mampu membaca al-Quran, maka wajarlah kita bersyukur dengan fokus pada menunaikan ibadah fardu setakat terdaya.
Insya Allah, kehidupan kita akan senantiasa ceria dan bahagia di sisi Allah.
Saya nukilkan dalam bentuk cerita agar lebih praktikal dan mudah difahami. Jika terdapat sebarang kesilapan dalam memberi pendapat ini, sebarang teguran amat dialu-alukan. Jazakumullah.
***************
Pada pukul 12 tengahari, Aminah merasa sakit tanda hendak bersalin. Dilation (bukaan serviks) Aminah pada waktu itu 5cm. Aminah berkejar ke hospital dan segera dimasukkan ke bilik bersalin. Sakit Aminah semakin kerap menandakan bukaan serviks semakin luas. Bayi dalam perjalanan keluar dari alam rahim. Darah juga mula membasahi kain dan katil.
Dalam menahan sakit itu, azan Zohor berkumandang. Aminah teringin menunaikan solat namun doktor tidak mengizinkan Aminah bangun kerana bimbangkan keselamatan Aminah dan bayi.
Dalam keadaan begini, bagaimana Aminah mahu berwuduk? Sekitar tempat Aminah berbaring dikotori darah dan air kencing. Selain tempat yang kotor, Aminah juga perlu membersihkan diri dan pakaiannya terlebih dahulu. Namun Aminah sudah tidak mampu untuk bangun melakukan semua itu sendiri. Tiada pula orang yang akan membantu Aminah. Sakit bersalin hanya Allah yang tahu. Tiada kata yang dapat menggambarkan kesakitan itu. Seluruh tenaga dikerah dan seluruh urat saraf ditarik-tarik bagi sebuah nyawa yang amat berharga.
Allah maha pengasih, apa yang dialami Aminah dikira situasi darurah yang mengharuskan perkara yang dilarang. Aminah harus solat secara baring tanpa membersihkan diri, tempat dan berwuduk. Aminah juga tidak harus menangguhkan waktu solat kerana Aminah memang akan bersalin bila-bila masa. Darah yang mengiringi anak nanti dikira darah wiladah atau nifas. Nifas atau wiladah merupakan hadas besar bagi wanita. Justeru Aminah haram menunaikan solat sepanjang tempoh nifas.
Allah tidak membebani hamba-hambaNya kecuali apa yang termampu dilakukan. Ayat 286 dari surah al-Baqarah menjadi hujjah keharusan tersebut,

لَا يُكَلِّفُ اللّٰهُ نَفْسًا اِلَّا وُسْعَهَا‌ؕ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ‌ؕ
Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.
Walaubagaimanapun, Aminah harus berusaha terlebih dahulu memenuhi tuntutan syarak yang asal untuk menunaikan solat. Sebagai contoh: Sekiranya Aminah mampu mengelap darah dengan tisu atau kain bersih daripada badannya di tempat dia berbaring, maka Aminah perlu lakukan itu. Jika Aminah mampu membuang alas yang kotor itu, maka Aminah juga perlu lakukannya walaupun tidak dapat mencari alas yang bersih sebagai ganti. Lebih baik Aminah solat di atas katil tanpa alas dan kotor sedikit dibandingkan bersolat di atas alas yang sememangnya digunakan untuk menadah kotoran secara langsung.

Kemudian, Aminah harus menggunakan air untuk berwuduk. Mintalah segelas atau sebotol air kecil dan basuh atau ratakan air pada anggota wuduk yang wajib yakni muka, tangan hingga ke siku, sebahagian kepala dan kaki. Basuhan atau sapuan itu dilakukan sekali sahaja yakni bilangan wajib.
Bagi menutup auratnya, memadai Aminah berselimut yang menutupi seluruh badannya hingga ke kaki dan bertudung lengkap atau meletakkan kain yang dililit menutupi rambut. Kemudian Aminah boleh bersolat dalam keadaan baring.

Wallahua’lam


-selamat menempuhi peperiksaan-

0 comments:

 

the power of sharing Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template