Monday, July 27, 2009

Beza Jantina dan Gender



PULAU PINANG, 17 Jul � Rakyat di negara ini secara umumnya boleh disifatkan sebagai keliru dengan istilah gender, yang mana kebanyakan daripadanya menakrifkan gender adalah sama erti dengan jantina.

Menyedari hakikat tersebut, Pengarah Pusat Pembangunan Penyelidikan Wanita (KANITA), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datin Rashidah Shuib tampil dengan fakta khas yang membezakan makna di sebalik kedua-dua istilah berkenaan.

Rashidah berkata, melalui kajiannya, beliau mendapati terdapat kekeliruan tentang makna istilah asas seperti jantina dan gender.

Katanya, istilah jantina merujuk kepada perbezaan biologi antara lelaki dan wanita manakala gender pula menganalisis pembinaan dan perhubungan sosial di antara lelaki dan perempuan.

``Antaranya yang dikaitkan dengan gender adalah cara masyarakat mencorak dan membuat jangkaan bahawa lelaki dan perempuan memainkan peranan yang berbeza-beza, memperlihat perilaku yang berlainan dan sebagainya.

``Ia termasuk memberikan status yang berbeza berdasarkan jantina dan lazimnya meletakkan kuasa yang lebih tinggi atau memberi kuasa yang lebih banyak kepada satu jantina jika dibandingkan dengan jantina satu lagi,�� katanya,

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum Profesor yang julung kali diadakan selepas KANITA dinaiktaraf sebagai salah satu pusat kecemerlangan di USM.

Rashidah menyampaikan idea bernas beliau melalui syarahan bertajuk Penggenderan Kesihatan: Satu Pelaburan Strategik dalam satu majlis khas yang dihadiri kira-kira 500 tetamu di Dewan Budaya USM baru-baru ini.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Asma Ismail dan TNC Akademik dan Antarabangsa, Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal.

Menyentuh topik syarahannya, beliau berkata, penggenderan kesihatan ialah satu pelaburan strategik kerana kesannya yang berlipat kali ganda serta berpaksikan kepada prinsip menghormati maruah dan nilai manusia.

``Penggenderan kesihatan bermaksud mengaplikasikan kerangka gender untuk menganalisis masalah kesihatan dan untuk merumus dasar, program dan juga perkhidmatan.

``Pada dasarnya, penggenderan kesihatan bermaksud setiap orang harus menerima hakikat bahawa lelaki dan wanita mempunyai kedua-duanya iaitu jantina dan gender,�� jelas beliau.

Tambahnya, penggenderan kesihatan perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana melaluinya akan terhasil satu pelaburan strategik yang memangkin kepada perubahan pemegang berkepentingan.

Beliau yang telah menjalankan kajian terperinci berhubung perkara itu berkata:``Analisis berdasarkan gender mengenai beberapa isu kesihatan seperti malaria, tuberkulosis, HIV dan AIDS menghasilkan data di luar dimensi bioperubatan.

``Analisis itu memberi pemahaman baru tentang isu kesihatan tersebut dan membantu pemegang berkepentingan mencari jalan penyelesaian yang terbaik, berpotensi dan mengurangkan kos.

Rashidah yang mula dilantik sebagai Profesor pada 2006 telah memegang jawatan sebagai Pengarah di KANITA bermula Mac 2005 dan sepanjang tempoh perkhidmtannya, beliau aktif dalam pelbagai kerja kemasyarakatan berkaita isu-isu gender, hak dan kesihatan serta sosiologi kesihatan.

Beliau memiliki Ijazah Kedoktoran Falsafah dalam bidang Teknologi dan Rekabentuk Pengajaran dari Michigan State University, Amerika Syarikat dan turut bergiat aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) peringkat tempatan mahupun antarabangsa.


Keterangan Gambar: Prof. Datin Rashidah Shuib ketika menyampaiakn syarahan umum di USM baru-baru ini.

2 comments:

gg on July 27, 2009 at 11:21 PM said...

rantainye itu x bole mengalahkan rantai berlian Prof. Asma... voleyyyyyyy????

nooraniza mohd kassim on July 28, 2009 at 12:05 PM said...

semoga pencapaian datin dapat mempertingkatkan lagi perkhidmatan kesihatan khususnya buat kaum wanita...

rasa rindu nak dengar 'cerita' dr datin yg disampaikan dgn penuh bersemangat sprt dlm kelas Kesihatan dan Masyarakat dan Perspektif Gender dalam Kesihatan dulu....

 

the power of sharing Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template